Wednesday, 14 November 2012

DEB

Objektif
Menyedari kedudukan ketidakseimbangan sosial ekonomi itu , kerajaan telah mengusahakan supaya satu pendekatan baru dalam rancangan pembangunan negara yang melibatkan program 20 tahun yang dikenali sebagai Dasar Ekonomi Baru. Matlamat utama dasar ini diperkenalkan ialah bagi mewujudkan perpaduan negara dengan mengurangkan perbezaan ekonomi, sosial, kebudayaan, penempatan dan sebagainya.

Strategi Pelaksanaan

Rancangan-rancangan pembangunan di bawah Dasar Ekonomi Baru adalah disusun dan dijalankan menerusi strategi serampang dua mata:

i. Mengurang dan seterusnya membasmi kemiskinan dengan memperbanyakkan peluang-peluang pekerjaan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum.
ii. Penyusunan semula masyarakat untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi.

Membasmi kemiskinan

Kemiskinan adalah sebab utama yang menimbulkan perasaan tidak puas hati dikalangan rakyat. Ianya bukan sahaja terdapat di luar bandar tetapi juga di bandar. Keadaan ini boleh menggugat perpaduan negara kerana masalah kemiskinan adalah mengikut kaum dengan kadar kemiskinan paling tinggi di kalangan orang Melayu yang tertumpu kepada aktiviti pertanian tradisional. Usaha telah dijalankan untuk menyelesaikan masalah sosial ekonomi dan projek pembangunan telah dirangka supaya:

1. Mewujudkan peluang pekerjaan untuk semua golongan rakyat yang menganggur.
2. Menambah daya pengeluaran dan pendapatan.
3. Memberi peluang perpindahan orang yang bekerja di sektor yang rendah daya  pengeluarannya kepada sektor yang lebih lumayan.
4. Mengurangkan jurang perbezaan pendapatan antara kaum antara kawasan bandar dan luarbandar dan antara wilayah.
5. Memodenkan kehidupan di luarbandar.
6. Mewujudkan kumpulan perusahaan dan perdagangan bumiputera.
7. Mengadakan suasana pekerjaan yang mencerminkan komposisi kaum di Malaysia.
8. Memperbaiki taraf dan kualiti hidup rakyat melalui pelajaran, latihan, kesihatan, kemudahan kemudahan infra-struktur dan lain-lain.

Penyusunan Semula Masyarakat

Adalah menjadi hasrat kerajaan supaya menjelang tahun 1990 pemilikan saham atau ekonomi Malaysia akan melambangkan komposisi kepentingan kaum di negara ini, di mana penyertaan Bumiputera sebanyak 30%, 40% bukan Bumiputera dan 30% terdiri dari pelabur-pelabur luar negeri.

Dalam mencapai matlamat penyusunan semula Dasar Ekonomi Baru, strategi berikut telah disusun :

1. Meninggikan daya pengeluaran dan taraf kehidupan golongan miskin melalui proses memodenkan kawasan luarbandar.

2. Mengurangkan keadaan yang tidak seimbang dalam struktur guna tenaga yang terdapat sekarang ini dengan cara yang progresif dan menerusi pertumbuhan ekonomi seluruhnya supaya pada tahun 1990 kedudukan tenaga buruh mencerminkan bilangan kaum.

3. Menambahkan dengan lebih cepat lagi bahagian rakyat Malaysia dalam pemilikan modal dalam stok syarikat dan pertumbuhan ekonomi.

4. Membentuk sebuah masyarakat perdagangan dan perindustrian di kalangan orang Melayu dan kaum Bumiputera supaya dapat membentuk dan memiliki 30% ekonomi dalam tahun 1990 dan menubuhkan beberapa agensi saperti MARA, Bank Pembangunan, Bank Bumiputera,Amanah Saham Nasional.
5. Memajukan negeri dan kawasan yang dianggap mundur melalui pembangunan wilayah baru seperti DARA, KESEDAR, KEJORA dan sebagainya.

Penutup

Dasar Ekonomi Baru yang bermatlamatkan perpaduan negara melalui proses pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat didalam konteks keselamatan negara yang kukuh. Segala program pembangunan negara dan Dasar kerajaan semasa yang diperkenalkan adalah dirancang dan dilaksanakan untuk mencapai tujuan-tujuan diatas. Usaha ini memerlukan bukan sahaja usaha yang gigih dari kerajaan dan kakitangannya, malah ianya memerlukan perubahan sikap, tenaga dan pemikiran rakyat dari sektor swasta.

No comments:

Post a Comment