HUBUNGAN ANTARA GAYA KEPIMPINAN SERVANT, PENGLIBATAN KERJA DAN TANGGAPAN SOKONGAN ORGANISASI DENGAN TINGKAHLAKU WARGA KERJA DI KOLEJ KOMUNITI ARAU
ABSTRAK
ABSTRAK
Kajian ini dijalankan untuk melihat persepsi warga kerja terhadap tahap amalan gaya kepimpinan servant yang diamalkan di Kolej Komuniti Arau. Selain itu, melalui kajian ini pengkaji juga melihat tahap penglibatan kerja dan tanggapan sokongan organisasi dengan tingkahlaku warga kerja di Kolej Komuniti Arau. Secara khususnya, kajian ini mempunyai empat objektif iaitu : (i) tahap gaya kepimpinan servant di Kolej Komuniti Arau; (ii) tahap penglibatan kerja, tanggapan sokongan organisasi dan tingkahlaku warga kerja di Kolej Komuniti Arau; (iii) hubungan antara kepimpinan servant, penglibatan kerja, tanggapan sokongan organisasi dengan tingkahlaku warga kerja di Kolej Komuniti Arau dan (iv) perbezaan tingkahlaku warga kerja dalam kalangan staf Kolej Komuniti Arau berdasarkan faktor demografi (jantina dan tahun berkhidmat). Seramai 40 responden iaitu staf Kolej Komuniti Arau telah dipilih secara rawak mudah untuk menjawab set borang soal selidik terpiawai yang telah diedarkan oleh pengkaji. Hasil tinjauan borang soal selidik mendapati bahawa gaya kepimpinan servant adalah berada pada tahap memuaskan (M=3.43, SP=.68), penglibatan kerja adalah berada pada tahap memuaskan (M=3.58, SP=.45), tanggapan sokongan organisasi adalah berada pada tahap sederhana (M=3.31, SP=.49) dan tingkahlaku warga kerja adalah berada pada tahap memuaskan (M=3.81, SP=.44). Ujian Kolerasi Pearson pula mendapati bahawa terdapat hubungan yang signifikan antara gaya kepimpinan servant dengan tingkahlaku warga kerja (r = .414, p < .01), tidak terdapat hubungan yang signifikan antara penglibatan kerja dengan tingkahlaku warga kerja (r = .235, p > .05) dan terdapat hubungan yang signifikan antara tanggapan sokongan organisasi dengan tingkahlaku warga kerja (r = .420, p < .01). Namun begitu, Ujian-T Sampel Bebas pula mendapati bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan terhadap tingkahlaku warga kerja dalam kalangan staf Kolej Komuniti Arau berdasarkan faktor jantina t(38) = -.586, p >.05. Ujian Anova Sehala juga mendapati bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara tingkahlaku warga kerja dalam kalangan staf Kolej Komuniti Arau berdasarkan tahun berkhidmat F(5,34) = 1.016, p > .05. Secara keseluruhannya, dapatan kajian ini menunjukkan bahawa persepsi tingkahlaku warga kerja adalah berada pada tahap yang memuaskan di Kolej Komuniti Arau.
Kata Kunci: Gaya kepimpinan servant, penglibatan kerja, tanggapan sokongan organisasi, tingkahlaku warga kerja.
https://independent.academia.edu/SaifulAzley/ResearchInterests
https://dx.doi.org/10.6084/m9.figshare.4206618.v1
http://orcid.org/0000-0002-7707-7511
ResearcherID:P-9974-2016